RSS

Arnab isi kantung Ismail

21 Dec

Arnab isi kantung Ismail

ASALNYA bidang ternakan bukan minatnya, namun disebabkan bosan duduk di rumah selepas bersara daripada sebuah syarikat swasta, bidang yang dulunya bukan pilihan kini menjadi perniagaan yang digemarinya.

Namun bak pepatah ‘belum cuba, belum tahu… sudah cuba, baru tahu’, bidang penternakan yang disertai bagi mengisi masa terluang itu bertukar menjadi bidang perniagaan apabila syarikatnya kini aktif membiakkan pelbagai baka arnab bagi bekalan daging secara komersial selain haiwan peliharaan.

Dengan bermodalkan 40 arnab, Mohd Ismail Padzil, 56, yang memulakan ternakan arnab pada Mac lalu, kini memiliki 1,500 induk arnab pelbagai jenis dengan keupayaan membekalkan 1,000 setiap bulan.

Mengimbas semula pembabitannya, Pengarah Urusan One Stop Rabbit Farm & Trading (1SRFT), Mohd Ismail Padzil, berkata penternakan arnab diceburinya bermula apabila tidak senang duduk di rumah tanpa melakukan pekerjaan selama enam bulan.

Dalam mencari-cari aktiviti sesuai untuk dilakukan, dia memutuskan untuk meninjau bidang penternakan, termasuk ayam, kambing dan lembu sebelum akhirnya meninjau bidang penternakan arnab.

“Sebenarnya penternakan bukan bidang yang saya minati, dan saya tidak pernah merancang atau terfikir untuk mengusahakannya ketika bekerja dulu.

“Namun disebabkan tidak betah duduk di rumah lepas bersara, saya tinjau sebarang aktiviti bagi memenuhi masa terluang sebelum memilih bidang penternakan dan menyertai beberapa bengkel serta kursus mengenainya,” katanya.

Melalui kursus serta bengkel disertainya, Mohd Ismail memilih untuk membabitkan diri dalam penternakan arnab selepas mendapati haiwan itu lebih mudah diternak berbanding haiwan lain selain tempoh pembiakannya cepat.

Bagaimanapun, baru lima bulan membiakkan baka terbabit, beliau mendapati bidang penternakan arnab ada potensi untuk dikembangkan secara komersial sama ada bagi daging atau haiwan peliharaan.

Ini kerana tidak ramai penternak membiakkan arnab secara komersial selain wujud permintaan tinggi terhadap daging haiwan itu sendiri.

“Waktu lima bulan pertama terbabit dengan penternakan arnab, saya dapati wujud permintaan tinggi bagi memasarkan dagingnya di negara ini, lebih-lebih lagi kurangnya penternak bergiat secara serius dalam menternak haiwan ini dan jika adapun, kebanyakannya bukan Bumiputera.

“Bila ternakan saya berjaya menghasilkan 400 arnab dalam tempoh lima bulan pertama, saya terus bercadang menambah lagi baka baru, termasuk baka arnab daging dan baka arnab peliharaan,” katanya.

Ketika mula-mula mengusahakannya ternakan itu beliau hanya memiliki empat jenis baka arnab, tetapi kini baka arnab dimilikinya mencecah 11 jenis iaitu enam jenis baka arnab daging manakala lima lagi baka arnab peliharaan selain beberapa baka campuran yang disilangkan antara baka yang ada.

Baka arnab terbabit dari jenis New Zealand White, Flemish Giant, California White, Chinchilla, Dutch dan Lion Head bagi jenis baka arnab daging, sementara bagi baka arnab peliharaan pula daripada Angora, Lion Head, Holland Lop, French Lop, Jersey Wobley dan Hotot.

Bukan senang hendak senang. Ketika mula-mula terbabit dalam bidang berkenaan, Mohd Ismail mengakui menghadapi beberapa masalah berikutan arnab dibiakkan menghidap penyakit, termasuk berkudis di badan.

Bagi mengatasi masalah itu, dia mengeluarkan kos tambahan bagi merawat arnab diternak selain menambah beberapa sangkar peliharaan khas untuk mengasingkan arnab yang sakit daripada menjangkiti arnab lain.

“Arnab ini sensitif, jadi bila ada seekor yang sakit kita terpaksa kuarantin yang sakit itu di tempat khas untuk mengelak jangkitan penyakit kepada yang lain.

“Setiap arnab yang lain pula terpaksa diberi rawatan awal bagi mengelak turut terkena jangkitan,” katanya.

Mohd Ismail berkata, selepas enam bulan menceburi bidang penternakan arnab, dia mampu menyelesaikan beberapa masalah, terutama kesihatan ternakannya, malah jumlah arnab dibiakkan turut berkembang sehingga 900 ekor.

Disebabkan perkembangan positif daripada ‘aktiviti’ barunya, dia mengambil keputusan mewujudkan sebuah syarikat yang menghasilkan arnab secara komersial di bawah nama One Stop Rabbit Farm & Trading, yang didaftarkan pada 9 September lalu.

Sehingga kini, iaitu dalam tempoh 10 bulan terbabit dalam bidang ternakan arnab, jumlah ternakannya meningkat kepada 1,500 ekor dan memperoleh pulangan sehingga RM20,000 bagi setiap arnab dijual sama ada bagi membekalkan daging atau dijual sebagai haiwan peliharaan.

Setiap arnab dihasilkannya dijual mengikut kadar harga berbeza bergantung kepada jenis baka arnab berkenaan. Bagi arnab yang dijual sebagai haiwan peliharaan, harganya boleh didapati daripada serendah RM100 manakala bagi arnab daging pula, ia dijual sebanyak RM38 bagi setiap kilogram.

“Di sini kami turut menjalankan proses penyembelihan arnab mengikut hukum syarak dan ia dijamin halal bagi memudahkan pembekalan daging haiwan berkenaan.

“Namun jika ada pelanggan mahukan hidup-hidup tanpa disembelih, harganya pula berbeza,” katanya.

Mohd Ismail berkata, tempoh membiakkan arnab yang lebih cepat berbanding haiwan ternakan lain menjadi faktor ternakan terbabit mudah dibiakkan.

Selain itu saiz arnab yang lebih kecil menyebabkan ia boleh dibiakkan dalam sangkar tanpa memerlukan kawasan pembiakan besar, sekali gus memudahkan pengurusan ternakan berkenaan.

>Profil

NAMA: Mohd Ismail Padzil

USIA: 56 tahun

ASAL: Kampung Bukit Badong, Kuala Selangor

JAWATAN: Pengarah Urusan

STATUS: Berkahwin

ISTERI: Siti Rafiah Sulaiman

ANAK: Mohamad Azam (21)

 
Leave a comment

Posted by on December 21, 2009 in Buletin Terkini

 

Tags:

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: